Sejurus selepas bersalin :
- Suhu badan, denyutan nadi dan tekanan darah ibu akan diambil, terutamanya jika wujudnya masalah sebelum ini, seperti pra-eklampsia (darah tinggi semasa mengandung) atau pendarahan yang banyak.
- Jika ibu melalui pembedahan Episiotomi, atau kelahiran tersebut telah menyebabkan berlakunya koyakan pada faraj, maka luka tersebut akan diperiksa setiap hari semasa ibu berada di hospital.
- Nasihat mengenai senaman dasar pelvis dan mengempiskan perut mungkin akan diajar kepada ibu bersama-sama dengan nasihat mengenai perancang keluarga.
- Pemeriksaan akan diteruskan oleh bidan atau jururawat masyarakat semasa ia membuat lawatan ke rumah untuk memeriksa keadaan kesihatan bayi.
- Ibu juga akan ditanya mengenai lokia (lelehan darah dan puing tisu yang keluar dari rahim selepas bersalin) yang seharusnya bertukar warna dari merah ke perang dan akhirnya kepada putih.
- Ibu akan diminta untuk berjumpa doktor atau datang ke klinik untuk pemeriksaan terakhir.
- Berat badan ibu akan diambil dan pemeriksaan fizikal sepenuhnya akan dibuat bagi memastikan tiada sebarang komplikasi yang wujud yang mungkin terlepas perhatian.
- Pada masa yang sama, bayi juga akan diperiksa bagi memastikan ia juga sihat.
- Doktor akan mengambil tekanan darah ibu dan mengambil sampel air kencing.
- Payudara, abdomen dan jahitan jika ada, akan diperiksa.
- Pemeriksaan dalaman akan dilakukan untuk memeriksa saiz dan kedudukan rahim anda
- PAP Smear akan diambil jika telah sampai masanya.
- Ibu boleh berbincang dengan doktor berhubung dengan perancang keluarga.
Selepas bersalin perut ibu akan menggeleber dan kendur kerana kelemahan otot dan kulit yang teregang di abdomen. Melakukan senaman yang lembut dan perlahan selepas bersalin akan membantu menguatkan otot dan mengembalikan kekejapan otot abdomen dan faraj.
Senaman juga boleh mengembalikan bentuk badan ibu dan menjadikannya lebih cergas.
Senaman untuk menguatkan dasar pelvis adalah antara senaman-senaman penting yang perlu diamalkan oleh ibu-ibu. Otot dasar pelvis mengampu organ-organ seperti pundi kencing, rahim dan rektum. Oleh yang demikian, adalah mustahak kedudukan organ-organ ini dipulihkan kembali setelah mengalami kelasakan bersalin.
Lelehan dari faraj
Berikutan kelahiran bayi, ibu akan mengalami lelehan faraj yang dipanggil lokia. Ianya kelihatan seolah-olah seperti kedatangan haid yang banyak. Ia akan keluar untuk beberapa hari dan beransur-ansur hilang dan seterusnya berhenti dalam seminggu dua.
Gunakan lampin bersalin atau tuala lampin yang lebih besar untuk menyerapkan lelehan yang keluar dengan banyak itu kerana ditakuti akan berlakunya jangkitan. Risiko jangkitan adalah tinggi jika tampon digunakan di awal-awal minggu selepas bersalin.
Pengecutan Rahim
Rahim akan mengambil masa selama 6 minggu untuk kembali ke saiz asalnya. Jika ibu menyusu anaknya dengan susu badan, ia akan terasa organ tersebut mengecut semasa ia sedang menyusu.
Kesakitan
Jika perineum (kulit di antara faraj dan dubur) terluka semasa kelahiran atau jika terdapatnya jahitan atau apa-apa sahaja yang memberi tekanan kepada bahagian tersebut, ia akan menimbulkan kesakitan.
Kesakitan ini boleh dilegakan dengan menuamkan bahagian perineum dengan pek ais (ketulan-ketulan kecil ais yang dibalut dalam kain yang bersih) atau mencurahkannya dengan air suam.
Keringkan bahagian itu dengan menggunakan pengering rambut yang disetkan ke bahagian sejuk. Jangan menggunakan tuala mandi untuk mengelapkannya. Jangan memegang pengering rambut itu terlalu dekat dengan kulit.
Lakukannya di dalam bilik tidur bukannya dalam bilik air. Menambah sedikit garam ke dalam air mandian boleh juga melegakan keadaan.
Diet
Walaupun ibu akan kehilangan berat badannya apabila rahimnya mengecut dalam minggu keenam selepas bersalin, ibu perlu menjaga makanannya untuk mengembalikan bentuk badannya seperti dahulu. Cuba makan secara berkala dan sihat. Elakkan dari mengambil snek yang mengandungi terlalu banyak kalori seperti gula-gula, kuih-muih yang manis dan minuman.
Jangan berdiet apabila anda menyusu anak dengan susu badan kerana ini akan menganggu sistem badan anda.